SELAMAT DATANG KE RUMAH KECILKU

Followers

Saturday, November 20, 2010

CORETAN PENAKU

AKU DAN WARNA DUNIA

DI SINAR MATA INI
TELAH LELAH MEMAMAH
GOLEK GELENTANG PENTAS DUNIA
SENYUM SUMBING SANG PELAKAR
MELAKAR HITAM YANG KELAM


DI CUPING INI
BISA MENDENGAR MERGAS BERBISIK
SALING BERKICAU BERCERITA
DI SANA ADA BUMI SEDANG BAH
MENJADI LAUTAN
ADA GUNUNG SEDANG MARAH
MELAHAR MUNTAHAN MERAH
ADA DAERAH YANG MASIH BERDARAH
BERSAMA TUBUH BERGELIMPANGAN

DI HATI KECIL INI
MELEGAR DI SEGENAP RUANG
YANG TERKADANG BERLARI SENDIRI
MAHU MERENTAS SEMALAM
DAN MENGUBAH LAKAR WARNA
MENJADI CORETAN KANVAS YANG INDAH

SAYANG SANG HELANG YANG TERBANG
MERENGGUT DAGING HATI
MEMBAWA PERGI JAUH
SELAYANG PANDANG
LALU DIRI MASIH DI SINI
MEMANDANG DALAM SEPI
MENDENGAR LEWAT ANGIN YANG LALU
SEDANG AKU HANYA MAMPU
MERASA TANPA HATI

******RAIHAN ZAFFYA******

Sunday, October 31, 2010

CORETAN PENAKU

TAK SEINDAH PELANGI ( mungkin judul sementara sebelum perbincangan dengan alaf 21 )

Harapan pertama semoga TSP juga akan mendapat sambutan baik dari peminat-peminat novel di luar sana. Seperti KASIH KE SYURGA atau lebih baik lagi. TSP masih mengetengahkan tentang pencarian jati diri remaja/anak muda. Namun ada perbezaan yang ketara di antara 'YUSUF' dan 'DANNY'. DANNY seorang anak muda yang kurang ajar dan sombong kepada orang tua. Agak berbeza dengan YUSUF. YUSUF walaupun gemar bergaul dengan rakan sebaya yang liar namun dia amat menghormati ummi dan abahnya. Juga menghormati pembantu tuanya, PAK ALI.
Tetapi kesalahan tidak boleh diletakkan di atas bahu DANNY semata-mata. Kepincangan keluarga yang mengamalkan cara hidup tidak beragama, sering membuat DANNY celaru. Berontak dan bersikap amat kasar. Hinggalah pada satu ketika, DANNY sering sahaja didatangi oleh mimpi-mimpi ngeri yang mengganggu tidurnya saban malam. DANNY mula terfikir apakah kesudahan jalan hidupnya nanti.

Dalam waktu yang sama DANNY telah menyimpan hati kepada seorang gadis kecil yang bertudung litup. Wajah gadis itu sering sahaja membayangi hidupnya. Mengekori ke mana sahaja DANNY pergi. Lalu DANNY merasakan itulah 'cinta'. Sayangnya satu peristiwa hitam telah menguji DANNY. Tanpa sedar, dia telah memperkosa seorang gadis dari rumah agam Tuan Zaki. Gadis yang tidak dikenali telah menjadi mangsa kekhilafannya. Kehidupan Danny bertambah celaru. Semakin tidak tenteram. Seperti sedang dikejar oleh dosa-dosanya sendiri.
DANNY merasakan dia perlu mencari gadis itu lalu menikahinya. Hanya itulah sahaja jalan yang dirasakan perlu dilakukan. DANNY terpaksa juga mengorbankan 'cintanya' terhadap gadis kecil bertudung litup. Biarpun tiada yang memaksa, DANNY mahu memilih satu di antara dua. Di atas kesedaran dan didorong oleh rasa bersalah, maka bermulalah pencarian DANNY untuk menjejak gadis yang telah dinodai. DANNY juga bertekad mahu mengubah diri. Mahu mengenal ALLAH dan mahu bertaubat. Dalam waktu yang sama, DANNY terpaksa berdepan dengan masalah satu-satunya adik yang dia ada. Kehidupan adik perempuannya jauh lebih getir. Emily telah melalui zaman kehancuran ketika usianya baru menjejak 17 tahun. Hidup yang tanpa pedoman dan tiada asuhan dari orang tua telah mengakibatkan Emily mengandung anak luar nikah. Hinggalah sampai satu ketika Emily nekad membuang bayinya yang tidak berdosa. Terlalu berat bebanan yang terpaksa DANNY tanggung.Semuanya diharungi tanpa bantuan Datuk Zahid dan Datin Sheila, kedua orang tuanya. Mampukah DANNY melepasi segala ujian itu??????..

Di antara MIA SAKINAH dan RAIHANA pula, mungkin ada persamaannya. MIA SAKINAH gadis bertubuh kecil dan comel namun memiliki satu jiwa yang kental. MIA SAKINAH seorang anak yang dahagakan kasih sayang kedua orang tua. Hanya mampu menumpang kasih pada seorang ibu tua yang juga adalah pembantu rumahnya yang setia. MIA SAKINAH berani untuk menongkah arus. Mahu memperbetulkan kepincangan keluarga. MIA SAKINAH mahu semangat Rabiah AL-Adawiyah, Sumayyah, Masyitah dan srikandi muslimah yang lain meresap ke dalam 
tubuh kecilnya. Mak Jah telah menjadi pendorong dan penguat semangatnya.
Sayangnya panas tidak sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Tanpa rela MIA SAKINAH telah menjadi mangsa perkosa di rumahnya sendiri. Di pesta harijadinya sendiri. Maka bermula lah rentetan hidup yang hitam dan kelam. Terlalu hebat dugaan ini buat MIA SAKINAH. Tidak tertanggung dek tubuh kecilnya. Namun dengan semangat yang ada, MIA SAKINAH terpaksa bangkit semula. Dalam sakit dan perit. Dalam duka dan sengsara. MIA SAKINAH jatuh, bangun, merangkak dan berdiri semula dengan segala kepayahan. Juga terpaksa menelan takdir yang lebih pahit apabila orang tuanya telah mengusirnya dari rumah agam.

Seperti EMILY, MIA SAKINAH juga mengandung anak luar nikah. Hanya yang membezakan, MIA SAKINAH telah menjadi mangsa keadaan. Pelbagai tohmahan dan cercaan terpaksa dilalui saban hari. Betapa deritanya MIA SAKINAH hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu. Hanya pada ALLAHlah tempat pergantungannya. Hanya pada DIA tempatnya mengadu. MIA SAKINAH amat benci melihat dirinya sendiri. Apa yang dirasakan adalah dirinya jijik, kotor dan dipenuhi noda. MIA SAKINAH membawa diri ke kampung Mak Jah. Wanita yang telah menjadi 'ummi'nya semenjak dia dilahirkan itulah yang setia bersusah-senang bersamanya. Sanggup mengharungi semua kepayahan bersama-sama. Seperti DANNY, mampukah MIA SAKINAH melalui semua itu dengan baik?????...

AKAN BERSATUKAH DUA HATI, DANNY DAN MIA SAKINAH AKHIRNYA????..Hanya RAIHAN ZAFFYA dan ALLAH sahaja yang tahu..ehehe..

Kepada peminat-peminat novel, tunggulah kemunculan TAK SEINDAH PELANGI..

*

CORETAN PENAKU

Raihan Zaffya hanya seorang penulis kecil-kecilan. Agak terlewat ketika melangkahkan kaki ke dunia penulisan. Minat memang ada semenjak di bangku sekolah lagi. Pernah menyertai beberapa pertandingan sastera sewaktu di sekolah. Raihan Zaffya tidak berkelulusan tinggi, hanya biasa-biasa saja. 

Cinta terhadap bidang penulisan telah bercambah dari masa ke semasa. Tapi entah mengapa, setiap manuskrip yang disudahkan tidak pernah dihantar ke mana-mana. Di mana silapnya ya? Hmm..lalu Raihan Zaffya menganggap Allah belum melorongkan lagi untuk Raihan Zaffya menjadi seorang novelis. Mungkin juga Allah mahu Raihan Zaffya melunaskan terlebih dahulu terhadap tanggung- jawab terhadap keluarga.

Akhirnya langkah kaki pun bermula. Raihan Zaffya mula memikirkan apa yang mahu dilakukan. Bagaimana mahu memulakan dan memikirkan apa kehendak pembaca novel sekarang ini. Puas mencari-cari satu kekuatan dalam penceritaan, ah! sukar juga rupa-rupanya. Ada sedikit takut tika melihat persaingan yang begitu kuat. Terlalu banyak lambakan novel-novel di pasaran. Mula terfikir, mampukah aku?

Apa gunanya jika hanya pasang angan-angan tanpa ada keberanian mahu mencuba. Jika berjaya Alhamdulillah, seribu rahmat Allah beri. Jika tidak, jangan sedikit pun ada putus asa dalam diri. Akhirnya Raihan Zaffya tersentak dari angan yang panjang. Mula membina semangat, kekuatan dan kemahuan. Hampir sebulan memikirkan cerita bagaimana yang mahu diketengahkan. 

Allah telah memberi Raihan Zaffya ilham. Didatangkan 'Yusuf' dalam bayangan yang sering mengekori ke mana saja Raihan Zaffya pergi. Terciptalah Yusuf yang begitu dan begini. Untuk apa Yusuf? Bagaimana Yusuf? Sudah semestinya akan ada yang teristimewa di hati. Kesudahan nya Raihana muncul menari-nari di ruang mata. Eh! Mengapa bola mata Raihana berwarna biru dan rambutnya perang bulu jagung. Rupa-rupanya dia seorang saudara baru yang begitu kukuh pegangan agamanya.

Mengapa diilhamkan Yusuf bersama Raihana? Emm..Raihan Zaffya mesti membina katektor yang kuat untuk mereka. Barulah tema dan jalan cerita difikirkan. Ehe..mungkin tidak bersistem cara kerja Raihan Zaffya. Apa yang melintas di minda itulah yang diterjemah lewat tinta. Raihan Zaffya tidak tahu bagaimana mahu membina jalan cerita melalui draf, lakaran cerita atau apa sahaja. Jika melakukannya secara bersistem, Raihan Zaffya jadi buntu. Jalan cerita sukar untuk berkembang. Hingga akhirnya Raihan Zaffya memilih caranya sendiri. Duduk sahaja di hadapan 'lappy', kosongkan minda dan berpusat pada cerita. Idea akan datang begitu sahaja. Bersyukur dengan anugerah yang Allah beri. Alhamdulillah.

Memang begitu banyak dugaan untuk menyatukan Yusuf dan Raihana. Ada-ada sahaja ujian yang datang. Akhirnya berkat sabar dan berkeyakinan, terhasil juga KASIH KE SYURGA. Apa-apa pun Raihan Zaffya serahkan kepada pembaca dan peminat novel untuk menilai hasilnya. Raihan Zaffya telah mencuba yang terbaik. Jika ada kritikan dan komen-komen, Raihan Zaffya akan jadi kan sebagai satu pemangkin untuk memperbaiki lagi mutu penulisan.

TERIMA KASIH kepada semua yang telah membeli dan membaca KASIH KE SYURGA.
Sokongan anda semua amat Raihan Zaffya hargai.

RAIHAN ZAFFYA...